Meneroka Alam Semesta Dan Keagungan Pencipta

Friday, March 6, 2015

Hebatnya Ilmu Falak


Ilmu Falak 
adalah suatu ilmu yang mengkaji mengenai pergerakan dan sifat-sifat objek samawi seperti matahari, bulan, bintang-bintang, buruj-buruj, planet, komet dan benda-benda langit lainnya dengan tujuan untuk mengetahui kedudukan objek itu serta nisbahnya berbanding kedudukan objek-objek yang lain. Dalam bahasa Inggeris ilmu ini disebut Astronomy.
  Al-Quran banyak menyentuh persoalan mengenai kejadian alam semesta. Banyak ayat-ayat yang menerangkan kejadian langit dan bumi, peredaran siang dan malam, pergerakan bintang, buruj, matahari dan bulan. Dengan demikian tidak hairan ilmu ini telah berkembang dengan pesatnya di zaman kegemilangan Islam. Ilmu ini dapat membawa manusia kepada menghayati kebesaran dan kekuasaan Maha Pencipta.Ini jelas sebagaimana firman Allah yang bermaksud :
” Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi ( seraya berkata /berdoa : Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah kami dari seksa neraka )

(Surah Al-Imran ayat 190-191) 

Kepentingan mempelajari ilmu falak ini :-
 1.      Melalui ilmu ini kita dapat mengenal Pencipta. Melalui pemerhatian dan kajian yang dilakukan mengenai pergerakan matahari, bulan, bintang-bintang, ahli falak dapat memerhati keagungan Allah dalam mengatur alam ini. 
2.      Dalam bentuk perlaksanaan ibadat. Islam adalah satu agama yang sesuai dengan fitrah manusia dan selari dengan perjalanan alam. Perlaksanaan ibadat mempunyai kaitan rapat dengan fenomena alam cakerawala seperti pergerakan bulan, bumi dan matahari. Ini disebabkan perlaksanaan ibadah dilaksanakan dalam batas masa tertentu. Masa bergantung kepada pergerakan bumi, matahari dan bulan.Hubungan dan kaitan yang rapat diantara perlaksanaan ibadah dengan fenomena alam adalah satu perkara menarik dan ciri istimewa yang menggambarkan keindahan,
kesempurnaan dan kesejagatan agama Islam. 
Secara langsung ia menggerakkan umat Islam untuk sentiasa memerhati dan memikirkan kejadian alam. Seterusnya menyaksikan keagungan dan kekuasaan Pencipta alam ini yang Maha Bijaksana dan Maha Sempurna.Setiap ibadah yang fardhu seperti solat, zakat, puasa dan haji mempunyai batas masa yang tertentu yang telah ditetapkan . Batas masa menjadi syarat sah perlaksanaan ibadah tersebut. Tidak sahibadat yang tersebut jika
dilakukan di luar waktunya.
Kegunaan harian.
Dengan mempelajari ilmu falak : –
 a.       Manusia dapat mengunakan bintang sebagai pandu arah dalam pengembaraan dan pelayaran untuk tujuan perdagangan.Fungsi bintang sebagai pandu arah ada disebut dalam Al-Quran yang
bermaksud,
“Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran(Kami) kepada orang-orang yang mengetahui. “

Surah An-Nahli : 16 )
  1. Taqwin. Dalam kehidupan manusia taqwin (kalendar) adalah sangat penting untuk menentukan dan menghitung hari, bulan dan tahun. Oleh itu kita dapati setiap tamadun masyarakat ada taqwinnya sendiri seperti taqwin Hindu, Cina dan lain-lain. Pembinaan Taqwim Islam berdasarkan kepada pergerakan bulan mengelilingi bumi.
Firman Allah yang bermaksud : 
“Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan -Nya manzilah-manzilah (orbit-orbit) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda kebesaran -Nya kepada orang-orang yang mengetahui”
  1. Waktu. Pergerakan matahari ketara juga digunakan sebagai penentu waktu atau jam. Prinsip asas jam berdasarkan bayang-bayang objek yang disebabkan oleh cahaya matahari. Jam ini lebih dikenali sebagai Jam Suria.
Walaupun hukum mempelajari ilmu falak Fardhu Kifayah , tetapi umat Islam perlu berusaha menguasai semula ilmu ini yang satu ketika dahulu ummat ini telah mendahului tamadun lain . Di mana ketika itu tamadun Barat masih lagi berada dalam zaman kegelapan. Pada zaman itu, ummat ini melahirkan banyak tokoh-tokoh cendiakawan yang pakar dalam ilmu falak.Di antaranya Al-Battani , Al-Burjani, Al-Bayruni dan lain-lain lagi. Kini orang barat pula yang menguasai ilmu ini, sementara umat Islam hanya menjadi penonton sahaja. Orang barat telah berjaya memajukan ilmu ini sehingga mampu menjelajah angkasa lepas.

Berikut adalah beberapa definisi Ilmu Falak dipetik dari buku Pengenalan Ilmu Falak, Baharrudin Zainal, DBP 2002.
* Ilmu Falak adalah salah satu cabang sains tabie (tulen).
* Ilmu yang mengkaji perjalanan badan-badan cakerawala seperti bumi, bulan, matahari dan bintang-bintang.
‘Falak’ dari bahasa Sumerian ‘pilak’ bermaksud sesuatu yang berputar.
* Dalam bahasa latin, astronomi – ilmu mengenai bintang.
Hartmann 1987 : sains yang mengkaji objek-objek di angkasa.
* Al-Quran : benda yang beredar di langit – surah Yasin: 40 dan Al-Anbiya:33.
Al-Biruni : sesuatu yang saling bertukaran.
* Ikhwan as-Shafa : ilmu yang mengkaji tentang tatasuria, menghitung jumlah bintang, mengukur pembahagian gugusan-gugusan bintan, jarak, saiz dan pergerakan badan-badan cakerawala serta mengetahui segala sesuatu yang berhubungan dengannya.
* Ibn Khaldun : ilmu yang mempelajari tentang pergerakan tetap bintang-bintang, sama ada yang bergerak atau berpusing. Gerakan-gerakan tersebut boleh diketahui melalui cerapan atau hitungan. Ilmu hitungan pula hendaklah berdasarkan kepada pengetahuan tentang ciri-ciri pergerakan dan kedudukannya.
Pengetahuan tentang definisi ini penting bagi membezakannya dengan aspek kajian bintang yang lain iaitu ‘astrologi’ atau ‘ilmu bintang pernujuman’.

Ilmu Falak Terpinggir?
Seorang yang mempelajari ilmu falak mengatakan beliau merasa terasing dalam dunia falak. Terasing dalam erti kata pemahaman tentang ilmu falak yang dipelajari, ternyata berbeza dengan pemahaman sebilangan masyarakat tentang ilmu falak.
Kitab bintang dua belas yang menjadi pendorong kepada ilmu perlangkahan dalam masyarakat dahulu, masih menjadi asas pemahaman sebilangan masyarakat tentang falak. Justeru ilmu falak masih dengan status – “meramal”.
Situasi ini mendorong sebilangan masyarakat memandang ilmu falak sebagai ilmu yang rendah, kerana mengandungi unsur ramalan dan jangkaan. Malah mungkin ada yang menganggapnya sama dengan ilmu nujum perbintangan (astrologi).
Ilmu falak gagal dipandang sebagai ilmu sains tabie, ilmu yang berasaskan pengkajian terhadap alam semesta yang sistematik menurut sunnatullah.
Hingga hari ini, ilmu falak masih gagal diterapkan dalam pembelajaran mana-mana disiplin ilmu, bahkan kekal sebagai satu disiplin berasingan, yang hanya diketengahkan oleh sebilangan yang berminat.
Sedangkan setiap urusan kehidupan umat, sama ada ibadat khusus atau tidak, akan tetap melibatkan ilmu falak.
1. Sistem waktu

Umat islam tidak mempedulikan langsung tentang sistem waktu, sekalipun al-Quran sendiri menyatakan bahawa watu solat itu ‘ditetapkan waktunya’. Namun aspek menjaga waktu dibiarkan sahaja, dan dipercayai bahawa sebilangan besar daripada umat islam, tidak tahu bagaimana waktu itu diukur dan ditentukan. Apalagi tentang bagaimana waktu solat itu diukur dan ditentukan?
2. Sistem tarikh dan takwim

Umat islam sekali lagi mengenepikan aspek kepentingan sistem tarikh dan takwim, apabila aspek tarikh dan takwim ini masih terumbang ambing dalam sesebuah negara, apalagi dalam hubungan antara negara. Sedangkan umum maklum tentang urusan puasa, zakat dan haji, malah urusan peribadi dan kekeluargaan seperti nikah, cerai dan rujuk, serta haid dan nifas, pasti melibatkan aspek tarikh dan takwim, yang sewajarnya diberi perhatian penting dan sebarang kekeliruan diatasi sehingga sistem tarikh dan takwim tidak diragui kesahihannya, yang tentu berhubung rapat dengan aspek kesempurnaan ibadat itu sendiri.
3. Fenomena alam

Apabila alam itu berfungsi dan beroperasi menurut sunnatullah, menurut sistem yang telah diatur oleh Yang Maha Kuasa, dengan ‘kebenaran’ menghitung bilangan tahun dan ‘hisab’, maka ‘penghitung’ akan menemui fenomena-fenomena tertentu dalam hitungan kedudukan cakerawala bagi penyusunan takwim, dan penentuan kedudukan jasad samawi yang lain, seperti fenomena gerhana (eclipse), ijtimak (conjunction), istiqbal (opposition) dan lain-lain fenomena, yang akan berlaku menurut turutan waktu yang tertentu, sama ada berulangan secara ‘banyak-banyak’, ‘jarang-jarang’, ‘sedikit-sedikit’ dan ‘kadang-kadang’. Namun tiada satu pun dalam falak fenomena ini dianggap luarbiasa atau ‘ajaib’, kerana luarbiasa dan ajaib hanya wujud pada fenomena yang berlaku secara ‘mukjizat’, ‘karamah’, dan sebagainya, bukan secara hitungan falak. Fenomena yang berlaku secara hitungan falak dianggap ‘kehebatan’ sistem alam semesta ciptaan Maha Agung, yang begitu terperinci, hingga memerlukan hitungan matematik dengan angka perpuluhan yang besar.